Sunday, February 14, 2010

Kepentingan AIR dalam sistem tubuh

Assalamualaikum dan dalam sejahtera,

Setelah sekian lama aku menyepi, baru kini berkesempatan untuk tampil kembali (bukan dengan imej baru) tapi meneruskan niat untuk kurus dengan cara Normal.

Intro dulu, biarpun aku berhasrat untuk kurus seperti sebelum ini, tapi rupanya azab dan dugaan terlalu kuat, ditambah pula bila kita dikelilingi rakan yang kuat makan tapi badan mereka tetap 'maintain'.

Aku nak menunaikan hasrat untuk mengutarakan topik berkaitan kepentingan AIR dalam sistem tubuh kita.

Lazim kita mendengar nasihat agar minum sekurangnya 8 gelas sehari. Jika dilihat kepada kebiasaan individu normal, mereka berupaya meminum air sehingga 3 liter sehari. Bermakna lebih banyak dari 8 gelas yang ditetapkan.

Sebenarnya,
tubuh setiap individu mempunyai kiraan tersendiri berdasarkan keperluan masing-masing dan jumlahnya tidak pernah sama.
Seperti contoh, meminum air pada jumlah yang banyak boleh memudaratkan penghidap athma dan paru-paru berair.

Bagi individu yang aktif pula, kadar minuman air seharusnya lebih dari 8 gelas sehari bagi mengembalikan keperluan cecair dalam tubuh setelah dikeluarkan menerusi proses perkumuhan seperti pembuangan air kencing dan pengeluaran peluh.

Ada juga pakar menyatakan meminum air pada kadar yang ditetapkan mampu menjadikan individu itu kurus kerana air yang banyak dapat meningkatkan kadar metabolisme dalam badan kita. Seperti yang kita semua maklumi, metabolisme penting untuk proses pembakaran kalori secara semulajadi dalam tubuh untuk diubah menjadi tenaga.

Tindakan sesetengah individu yang mengawal pengambilan air hanya disebabkan memiliki tubuh yang dikatakan 'berat air' sebenarnya adalah salah. Walaupun memiliki tubuh berat air, meminum air masih menjadi keutamaan sebagai proses semulajadi mengeluarkan semula air tersebut dalam bentuk proses perkumuhan.

Ada juga sesetengah individu yang mendapat kemudaratan setelah mengamalkan beberapa jenis pil diet termasuk produk tradisional berasaskan herba, hanya kerana tidak meminum air pada jumlah yang disyaratkan.

Peringatan penting buat pengamal diet yang menggunakan produk seperti pil dan jamu, ANDA PERLU MINUM AIR PADA JUMLAH YANG BANYAK.

Ini adalah disebabkan kandungan pil dan jamu tersebut mengandungi unsur-unsur yang PANAS dan juga BAHAN KIMIA yang tinggi. Kandungan produk tersebut memerlukan sumber air yang banyak untuk melancarkan fungsi sebenarnya.

Sekiranya anda berhasrat untuk mengambil produk diet atau jamu, tetapi masih culas mengambil air pada jumlah ditetapkan, dinasihatkan agar anda BERHENTI memudaratkan diri sendiri.

Kita seharusnya memahami fungsi organ dalaman tubuh agar tidak merosakkan sistemnya sehingga memudaratkan diri kita.

Lazim kita mendengar kesan sampingan pengamal diet berserta ubatan atau jamu ini seperti fungsi hati yang rosak, kegagalan ginjal berfungsi dan juga mengalami kanser usus. Sekiranya diperhalusi, ia bukanlah disebabkan KEBURUKAN produk diet yang dipasarkan, tetapi TABIAT BURUK kita sendiri yang tidak mengikut aturan ditetapkan seperti mengambil pil mengikut dos yang ditetapkan dan juga pengambilan air yang banyak.

Fungsi hati yang kita ketahui adalah untuk mengawal kadar bahan kimia dalam badan kita dan fungsi ginjal adalah untuk mengawal bendalir dalam badan kita, manakala usus pula menjalankan tanggungjawab memastikan proses penghadaman berjalan lancar. Ketiga-tiga fungsi ini memerlukan sumber air yang banyak sebagai PELINCIR bagi memudahkan tugas masing-masing.

Aku bukanlah pakar dalam bidang berkaitan, tetapi menerusi sumber pembacaan dan berusaha memahami keperluan tubuh sendiri, aku cuba berkongsi dengan anda semua setakat yang aku tahu. Tetapi jika apa yang dikatakan ini SALAH, sila maklumkan segera dan aku perbetulkannya, demi kebaikan kita bersama.

Jadi, kepada semua individu yang berhasrat untuk DIET sambil mengamalkan PIL atau JAMU yang berkaitan, sila patuhi syarat yang ditetapkan. Aku juga mengingatkan diri aku sendiri mengenai perkara ini.

Semoga kita kurus dan cantik dalam keadaan sihat dan NORMAL.